SAINGAN pembuka tirai Siri Super 2011 di Kuala Lumpur bakal menjadi kejohanan paling menarik sepanjang sejarah penganjuran Terbuka Malaysia sejak 1937. Apa tidaknya, pelbagai elemen kejutan berlaku sebelum kejohanan itu membuka tirai Selasa ini.
Bermula dengan pengesahan China yang menghantar skuad perseorangan terkuat diketuai Lin Dan, Chen Jin, Chen Long, Bao Chunlai dan Du Pengyu, peletakan jawatan jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pelantikan Li Mao sebagai jurulatih baru Indonesia bakal menjanjikan elemen kejutan.
Tidak menghairankan China menurunkan skuad terkuat kali ini biarpun Terbuka Malaysia tidak berstatus Siri Premier seperti Terbuka Korea, Indonesia, China, Denmark dan Seluruh England yang menawarkan hadiah lumayan.
Terbuka Malaysia tetap menarik perhatian pemain ternama dunia kerana menawarkan hadiah keseluruhan AS$400,000 (RM1.2 juta).
Terbuka Korea paling lumayan dengan nilai keseluruhan AS$1.2 juta (RM3.7 juta) diikuti Indonesia AS$600,000 (RM1.8 juta), Denmark, China dan England AS$350,000 (RM1.07 juta).
Selain merebut hadiah lumayan bagi juara perseorangan lelaki RM96,000, cabaran kali ini lebih terarah kepada menguji persediaan barisan pemain elit dunia yang akan mula memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik London 2012 bermula 2 Mei depan hingga 29 April 2012.
Datuk Lee Chong Wei pastinya mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2008 hingga 2010 selain memburu kejuaraan di tanah air buat kali ketujuh selepas jaguh negara itu turut menjuarai gelaran pada 2004-2006.
Namun, tugasnya bukan mudah dengan kehadiran pemain China yang sudah lama tidak beraksi di Malaysia. Apa lagi tanpa kelibat Misbun yang tidak melatihnya sejak 31 Disember lalu.
Chong Wei juga perlu bersedia fizikal dan mental kerana berdepan laluan sukar di separuh akhir apabila dijangka berdepan Lin Dan. Pertemuan terakhir Chong Wei-Lin Dan di Stadium Putra, Bukit Jalil adalah pada kejohanan Piala Thomas Mei tahun lalu yang memihak jaguh China itu.
Jika berjaya melepasi Lin Dan sekalipun, Chong Wei bakal berdepan satu lagi kesukaran andai bertemu pemain Indonesia, Taufik Hidayat di final selepas pemain itu diletak pilihan kedua.
Kelibat pemain Indonesia kali ini pasti berbeza selepas mendapat jurulatih baru, Li Mao. Li Mao yang dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) esok mampu mencongak percaturan strategi pemainnya ketika menentang pemain Malaysia, China mahupun Korea.
Jurulatih berpengalaman itu pernah melatih skuad kebangsaan China, Malaysia dan Korea sebelum beralih ke Indonesia yang ketika ini menghadapi masalah sama dengan Malaysia, ketandusan bakat perseorangan.
Sementara itu, beregu lelaki negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sepatutnya tiada masalah mempertahankan kejuaraan tahun lalu selepas mendapat status pilihan utama kejohanan.
Gandingan utama negara itu dijangka mudah ke final, namun badi kekalahan kepada gandingan kedua Korea Yoo Yeon Seong-Koo Sung Hyun mungkin menjadi penghalang.
Sepanjang empat pertemuan kedua-dua beregu itu, gandingan negara tewas semuanya. Terbuka Malaysia mungkin menjadi gelanggang terbaik buat mereka bangkit selepas jurulatih Rexy Mainaky sebelum ini berkata, kekalahan terakhir gandingan negara itu kepada pasangan Korea pada Pusingan Akhir Siri Super Dunia di Taiwan disebabkan mereka tidak bersedia daripada segi fizikal dan mental.
China dijangka menguasai perseorangan wanita kerana menurunkan pemain terbaik mereka, Wang Xin, Wang Shixian, Wang Yihan, Jiang Yanjiao dan Lu Lan.
sumber:http://www.hmetro.com.my