logo

Saturday, January 15, 2011

Ujian getir Chong Wei







SAINGAN pembuka tirai Siri Super 2011 di Kuala Lumpur bakal menjadi kejohanan paling menarik sepanjang sejarah penganjuran Terbuka Malaysia sejak 1937. Apa tidaknya, pelbagai elemen kejutan berlaku sebelum kejohanan itu membuka tirai Selasa ini.
Bermula dengan pengesahan China yang menghantar skuad perseorangan terkuat diketuai Lin Dan, Chen Jin, Chen Long, Bao Chunlai dan Du Pengyu, peletakan jawatan jurulatih perseorangan Datuk Misbun Sidek dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pelantikan Li Mao sebagai jurulatih baru Indonesia bakal menjanjikan elemen kejutan.

Tidak menghairankan China menurunkan skuad terkuat kali ini biarpun Terbuka Malaysia tidak berstatus Siri Premier seperti Terbuka Korea, Indonesia, China, Denmark dan Seluruh England yang menawarkan hadiah lumayan.


Terbuka Malaysia tetap menarik perhatian pemain ternama dunia kerana menawarkan hadiah keseluruhan AS$400,000 (RM1.2 juta).

Terbuka Korea paling lumayan dengan nilai keseluruhan AS$1.2 juta (RM3.7 juta) diikuti Indonesia AS$600,000 (RM1.8 juta), Denmark, China dan England AS$350,000 (RM1.07 juta).


Selain merebut hadiah lumayan bagi juara perseorangan lelaki RM96,000, cabaran kali ini lebih terarah kepada menguji persediaan barisan pemain elit dunia yang akan mula memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik London 2012 bermula 2 Mei depan hingga 29 April 2012.




Datuk Lee Chong Wei pastinya mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2008 hingga 2010 selain memburu kejuaraan di tanah air buat kali ketujuh selepas jaguh negara itu turut menjuarai gelaran pada 2004-2006.

Namun, tugasnya bukan mudah dengan kehadiran pemain China yang sudah lama tidak beraksi di Malaysia. Apa lagi tanpa kelibat Misbun yang tidak melatihnya sejak 31 Disember lalu.


Chong Wei juga perlu bersedia fizikal dan mental kerana berdepan laluan sukar di separuh akhir apabila dijangka berdepan Lin Dan. Pertemuan terakhir Chong Wei-Lin Dan di Stadium Putra, Bukit Jalil adalah pada kejohanan Piala Thomas Mei tahun lalu yang memihak jaguh China itu.

Jika berjaya melepasi Lin Dan sekalipun, Chong Wei bakal berdepan satu lagi kesukaran andai bertemu pemain Indonesia, Taufik Hidayat di final selepas pemain itu diletak pilihan kedua.


Kelibat pemain Indonesia kali ini pasti berbeza selepas mendapat jurulatih baru, Li Mao. Li Mao yang dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) esok mampu mencongak percaturan strategi pemainnya ketika menentang pemain Malaysia, China mahupun Korea.


Jurulatih berpengalaman itu pernah melatih skuad kebangsaan China, Malaysia dan Korea sebelum beralih ke Indonesia yang ketika ini menghadapi masalah sama dengan Malaysia, ketandusan bakat perseorangan.


Sementara itu, beregu lelaki negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sepatutnya tiada masalah mempertahankan kejuaraan tahun lalu selepas mendapat status pilihan utama kejohanan.


Gandingan utama negara itu dijangka mudah ke final, namun badi kekalahan kepada gandingan kedua Korea Yoo Yeon Seong-Koo Sung Hyun mungkin menjadi penghalang.


Sepanjang empat pertemuan kedua-dua beregu itu, gandingan negara tewas semuanya. Terbuka Malaysia mungkin menjadi gelanggang terbaik buat mereka bangkit selepas jurulatih Rexy Mainaky sebelum ini berkata, kekalahan terakhir gandingan negara itu kepada pasangan Korea pada Pusingan Akhir Siri Super Dunia di Taiwan disebabkan mereka tidak bersedia daripada segi fizikal dan mental.


China dijangka menguasai perseorangan wanita kerana menurunkan pemain terbaik mereka, Wang Xin, Wang Shixian, Wang Yihan, Jiang Yanjiao dan Lu Lan.



sumber:http://www.hmetro.com.my

Julia Perez tunai janji pakai coli laser





JAKARTA: Selebriti kontroversi, Julia Perez yang gagal muncul dengan coli laser dalam perlawanan akhir pusingan kedua Piala Suzuki antara Indonesia dengan Malaysia beberapa minggu lalu, akhirnya menunaikan janjinya berbuat demikian ketika menyanyi di sebuah kafe kelmarin.


Akhbar hiburan Internet, Okezone melaporkan, Julia atau Jupe mengenakan pakaian seksi dengan coli yang mengeluarkan cahaya merah yang menyilaukan. Beberapa penonton meng- hulurkan wang kepada pelakon filem Hantu Jamu Gendong itu, tetapi Jupe enggan menerimanya sambil berkata: “Saya datang ke sini bukan untuk mengutip wang anda, tetapi kehadiran saya ialah untuk menghiburkan anda.” - Okezone


sumber: http://www.hmetro.com.my,

2 Wanita Myanmar Maut



MELAKA: Dua wanita warga Myanmar masing-masing seorang pengantara pekerja dan seorang dipercayai pembantu rumahnya ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh mereka yang dipercayai dilakukan oleh tiga suspek di Malim, dekat sini, tengah hari semalam.
Kedua-dua wanita berusia 30-an itu ditemui terbaring di atas lantai di dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Malim Permai, dengan keadaan mangsa berlumuran darah di ruang tamu rumahnya, manakala pembantu rumahnya pula ditemui mati dalam keadaan sama di ruang dapur.


Difahamkan, sebelum itu ada saksi mendakwa mendengar bunyi pertengkaran antara lelaki dan wanita di rumah berkenaan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, turut ditemui di tingkat atas rumah itu adalah sebilah pisau dan tukul besi.


Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 2.15 petang sebelum sepasukan polis tiba untuk melakukan siasatan.



Katanya, kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu disedari oleh adik lelaki mangsa apabila gagal menghubungi kakaknya itu yang juga isteri kepada pemilik rumah ketika datang untuk menghantar makanan ke rumahnya.



“Adik mangsa mengetuk pintu rumah, namun tiada jawapan. Dia kemudian pergi ke belakang rumah dan melihat melalui cermin tingkap dan mendapati kakaknya terbaring di ruang tamu. Dia kemudian memberitahu dan meminta pertolongan daripada jiran menghubungi polis,” katanya.


Raja Shahrom berkata, sebaik tiba polis mendapati pintu rumah mangsa berkunci dan selepas membukanya, kedua-duanya mangsa ditemui berlumuran darah.


“Anak lelaki mangsa yang berusia enam bulan dan turut berada di dalam rumah itu bagaimanapun terselamat dan dibawa oleh bapanya ke hospital,” katanya yang enggan mendedahkan identiti kedua-dua mangsa kerana masih dalam siasatan.


Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati ada saksi mendengar pertengkaran berlaku kira-kira jam 11.30 pagi membabitkan seorang lelaki dipercayai warga Myanmar dengan wanita pada peringkat awal di dalam rumah terbabit.



“Kemudian diikuti dua lelaki masuk serta menutup pintu dan kita tidak tahu apa berlaku hinggalah adik mangsa tiba. Kita percaya senjata pisau dan tukul yang ditemui di tingkat atas digunakan dalam kejadian itu,” katanya.



Terdahulu, adik mangsa yang hanya dikenali sebagai Nanda, 30, berkata ketika tiba di rumah itu dia mengetuk pintu dan memanggil kakaknya namun tiada jawapan lalu cuba pula menghubungi telefon bimbitnya.




sumber: http://www.hmetro.com.my

Tuesday, January 11, 2011

Kucing boleh bercakap mama di Jawa Timur

JAKARTA - Seekor kucing betina peliharaan seorang wanita berusia 21 tahun yang hanya dikenali sebagai Claudia di Dusun Krajan, Jawa Timur, boleh mengungkapkan perkataan mama, mami, mamia dan nombor satu sehingga sepuluh, lapor sebuah akhbar semalam.
Kucing berusia satu setengah tahun itu diajar oleh Claudia untuk mengungkapkan perkataan itu sejak haiwan tersebut masih kecil.
"Bisa (boleh) berhitung satu sampai sepuluh bahkan bisa diajak bicara," kata Claudia kepada akhbardetikSurabaya.com semalam.
Menurutnya, kucing yang bernama Keting itu memahami arahan dan pertanyaan daripadanya.
"Bisa bilang (bercakap) mama, mami, mamia dan banyak yang lain juga," tambahnya.
Ibu kucing itu telah mati manakala proses latihan bercakap itu dilakukan oleh Claudia dan anggota keluarganya yang lain secara berterusan.
Dia turut mengajar lima kucing lain untuk bercakap tetapi hanya Keting sahaja yang memiliki kecerdasan luar biasa dengan memahami dan menuturkan perkataan itu.
Sebelum ini, pada Jun tahun lalu heboh diperkatakan penduduk mengenai seekor kucing Parsi jantan putih berusia dua tahun milik Anggita Rizki Ayu di Bandung, Jawa Timur yang boleh mengungkapkan perkataan yang berbunyi seperti enggak yang bermaksud tidak dalam bahasa Melayu. - Agensi



Permainan video air kencing di Tokyo


TOKYO - Satu permainan video ganjil akan diletakkan di dalam tandas di lima buah stesen tren di Tokyo, Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Permainan itu akan menguji air kencing si lelaki bagi mengetahui kelajuan dan kepanasannya menerusi sensor di bawah mangkuk tandas.
Alat permainan itu akan memberi keuntungan kepada penciptanya, syarikat Sega kerana iklan komersial akan disiarkan pada konsol sebelum permainan bermula.
Permainan itu dicipta dengan tujuan untuk menjadikan tandas sebagai suatu tempat yang menarik. - Agensi

Isteri penasihat White House terbakar dalam kereta

WASHINGTON - Isteri seorang penasihat White House, Ashley Turton, 37, terbunuh apabila kenderaan utiliti sport (SUV) yang dinaikinya terbakar di dalam garaj rumahnya kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana kejadian yang melibatkan kenderaan jenama BMW itu berlaku dan punca ia terbakar pada awal pagi.
Seorang jurucakap bomba, Pete Piringer menjelaskan bahawa kemungkinan kenderaan itu sedang mengundur atau masuk ke dalam garaj ketika kejadian kerana sebahagian belakang kenderaan SUV itu berada di luar garaj.
"Kenderaan itu mungkin melanggar pintu garaj dan terbakar di kawasan itu," kata Piringer.
Seorang jiran menghubungi talian kecemasan apabila melihat kebakaran itu.
Ashley ialah isteri kepada Timbalan Pengarah Perhubungan Undang-Undang White House, Dan Turton, 43.
Mereka mempunyai tiga orang anak yang berusia antara satu dan tiga tahun. - Agensi
sumber: kosmo.com.my

Hidang kopi sedap sebelum ajal


KANGAR - Seorang bapa tidak menyangka tindakan pelik anak lelakinya yang pertama kali menghidangkan secawan kopi untuknya selain meminta wang RM12 merupakan petanda yang anaknya itu akan menemui ajal apabila lemas di Sungai Barir Tebus di sini semalam.
Kejadian pukul 6.30 petang itu mengakibatkan Nor Ridzuan Ramli, 21, lemas di dalam sungai yang mempunyai kedalaman 0.5 meter di Jalan Sungai Padang-Sungai Baru dekat sini.
Dia dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu ketika memancing bersama rakannya, Mohd. Harif Mohd. Nor, 21, selepas diserang sawan.
Bapa mangsa, Ramli Can, 57, memberitahu, enam jam sebelum kejadian itu, dia ada mengajak Nor Ridzuan untuk pergi ke kebun mereka di Timah Tasoh untuk membersihkan kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, Nor Ridzuan menolak ajakannya kerana dia hendak pergi ke sana dengan menaiki lori dan bukan kereta seperti yang dicadangkan olehnya.
"Dia kemudian telah membuat secawan kopi dan meminta wang RM12 untuk berbelanja. Saya pelik kerana dia tidak pernah membuatkan kopi untuk saya dan rasa air itu sangat sedap.
sumber: kosmo.com.my